Pelakon veteran Fetty Dzul meninggal dunia-alfatihah
Fetty atau nama sebenarnya Fatimah Abd. Rahim, 63, menghembuskan nafasnya terakhir di hospital di unit rawatan kecemasan (ICU) Hospital Selayang sekitar pukul 7.30 pagi tadi selepas dijangkiti Covid-19 tahap lima.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh salah seorang anaknya menerusi satu kiriman mesej ringkas kepada wakil media.
Menerusi mesej ringkas daripada anaknya itu, dia berdoa semoga dosa-dosa yang pernah dilakukan ibunya diampunkan Allah SWT serta mengurniakan syurga buat arwah.
“Semoga Allah S.W.T mengampuni mamy (panggilan ibunya) dan mengurniakan Jannatul Firdaus kepadanya. Amin,” tulisnya.
Dalam pada itu, wakil keluarga kepada pelakon yang pernah membintangi drama Harimau Rimba itu turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan arwah ibunya.
“Terima kasih atas semua ingatan yang ikhlas dan doa yang baik-baik terhadap arwah mamy. Kami sekeluarga bagi pihak mamy ingin memohon maaf sekiranya arwah ada melakukan salah silap sepanjang perkenalan dengan semua.
“Minta halalkan makan minum dan perbuatan serta tutur kata arwah mamy Fetty Dzul. Dia sayang semua orang!” katanya.
Terdahulu menerusi Instagram Persatuan Seniman Malaysia pada 9 November lalu, Fetty dimaklumkan sedang kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan ketika berada dalam Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang.
Sepanjang penglibatan dalam arena seni, nama Fetty begitu dikenali peminat kerana sering tampil memegang karakter antagonis dalam drama atau filem. Fetty juga merupakan antara pelakon terawal yang terbabit dengan siri drama kepolisan terbitan Datuk Yusof Haslam iaitu Remang-Remang Kota Raya, Harimau Rimba dan Debu-Debu Kota sekitar tahun 1980-an.
Fetty kemudiannya meninggalkan Malaysia selama empat tahun pada awal 1990-an kerana mengikut Allahyarham suaminya bertugas di Amerika Syarikat. – K! ONLINE