Pelakon Veteran Legenda Meninggal Dunia Al-Fatihah
"Ketika di sisinya, kami beritahu sudah reda ajalnya tiba dan meminta maaf atas segala-galanya. Arwah beritahu beliau maafkan semua," katanya.
Ruby berkata, suaminya seorang pejuang, malah, bacaan oksigen yang menurun, tiba-tiba meningkat, membolehkan arwah berinteraksi bersama anak-anak hingga detik terakhir.
"Ketika ini, kami masih di PPUM untuk menunggu proses seterusnya. Insya-Allah, jenazah arwah akan dibawa ke Puchong untuk pengebumian, hari ini," katanya.
Ruby berkata, suaminya meminta disampaikan ucapan terima kasih kepada peminat dan semua teman seperjuangan.
"Terima kasih kepada peminat dan kawan-kawan... Minta maaf dan halalkanlah jika ada buat salah. Arwah suka bergurau ketika hayatnya.... Arwah sudah memaafkan semua orang.
"Hajat arwah untuk bercakap dengan temannya, Ebby Yus tercapai, semalam. Arwah dan Ebby berhubung melalui panggilan video.
"Arwah juga ada bertanya mengenai keadaan Along Cham dan meminta Didie Alias berhubung dan mendapatkan khabar mengenai temannya itu," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan doktor meramalkan jangka hayat Lan atau nama sebenar, Zailan Kamaruddin Mohd, hanya tiga bulan selepas kanser merebak ke hati dan paru-paru.
Memulakan kerjaya lakonannya sejak empat dekad lalu, wajah Allahyarham Lan kerap menghiasi televisyen (TV) dan layar lebar. Antara drama yang pernah dibintangi arwah adalah Santan Berlada, Rumah Kedai, Kisah Benar, Gerak Khas dan banyak lagi.